Alkisah Bermulanya Perkampungan Felda Mayam, Bera, Pahang

       Felda Mayam, sebuah Kampung Felda yang mempunyai penduduk hampir 2,228 orang. Terdiri daripada 527 buah keluarga yang berasal dari setiap pelosok negeri di Malaysia. Menurut cerita orang-orang Asli yang menduduki kawasan sekitar Felda Mayam ini, terdapat sebatang anak sungai yang mengalir dipanggil oleh orang-orang Asli di situ sebagai 'Sungai Mayam'. Maka dari situlah nama Rancangan Felda Mayam ini mendapat nama. Rancanngan pertama atau Peringkat 01 dibangunkan pada 01.06.1970, manakala rancangan kedua atau Peringkat 02 dibangunkan pada 28.09.1972 dan rancangan ketiga dibangunkan pada 01.01.1978. 

 

LOKASI FELDA MAYAM

        Felda Mayam terletak dalam Daerah Bera iaitu 36 km dari Bandar Kerayong dan sejauh 72 km dari pusat bandar Temerloh. Ia termasuk di bawah kawasan Parlimen Bera dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai. Rancangan Felda Mayam bersempadan dengan Felda Purun dibahagian utara, Felda Bukit Kepayang di sebelah barat dan bahagian selatan pula ialah Felda Kumai. Kawasan sebelah timur rancangan, bersempadan dengan hutan simpan.

 

PEMBANGUNAN PERTANIAN

        Rancangan ini mula dimajukan dalam tahun pembangunan 1970/1971, yang mempunyai tiga peringkat dengan kawasan tanaman kelapa sawit seluas 2,318.45 hektar. Manakala 175.30 hektar dimajukan sebagai kawasan perkampungan. Kawasan ini telah mula ditanam semula bermula April 2001 bagi peringkat 01. Bulan Mac 2002 bagi peringkat 02 dan bagi peringkat 03 ialah pada April 2007.

 

PENEMPATAN PENEROKA

        Seramai 527 keluarga telah ditempatkan di rancangan  ini mulai Januari 1973. Daripada jumlah ini,  seramai 284 keluarga peneroka ditempatkan di Peringkat 01, 203 keluarga peneroka di Peringkat 02, dan seramai 40 keluarga peneroka ditempatkan di Peringkat 03. Seramai 491 keluarga peneroka berketurunan Melayu, 35 berketurunan India dan 1 keluarga berketurunan Asli.